Bermukun: Tradisi Melayu Sarawak

Bermukun: Tradisi Melayu Sarawak

Aktiviti bermukun atau memukun merupakan satu seni yang mengabungkan antara seni muzik, seni tari dan juga kreativiti dalam pantun berirama di kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Dipercayai telah wujud sejak lewat 1700-an sebagai satu bentuk ritual dalam perubatan sebelum tersebarnya agama Islam, bermukun akhirnya menjadi popular sekitar tahun 1960-an dengan pelbagai elemen seni lain yang disuntik seperti bunyi biola serta keyboard dan sering dipersembahkan sebagai acara hiburan dalam majlis-majlis seperti majlis perkahwinan, berkhatan dan keramaian. Namun begitu, disebabkan arus kemodenan pada masa kini dengan munculnya pelbagai jenis bentuk hiburan, tradisi bermukun semakin jarang dipersembahkan dan diperkenalkan untuk tatapan generasi muda.

Acara bermukun biasanya diadakan di halaman rumah kerana mengambil kira faktor ruang dan jumlah tetamu yang hadir. Tempat pemukun pula biasanya dipanggil ‘teratak’ akan dihiasi kain bewarna yang hanya menampakkan sebahagian  dari badan pemukun di ruang berkenaan. Di hadapan ‘teratak’ pula terdapat ruang yang dipanggil gelanggang dimana ruang tersebut berfungsi untuk golongon lelaki yang berjoget dan membalas pantun dari pemantun wanita ataupun sekadar berjoget untuk memeriahkan suasana. Terdapat tiga anasir penting dalam bermukun, iaitu Seh Gendang, Menopeng dan Bertandak.

Dalam acara bermukun, pemukun kebiasaanya terdiri daripada dua sehingga empat orang wanita yang berperanan sebagai ‘mak gendang’ atau ‘seh gendang’ dan memainkan gendang yang dikenali sebagai ‘dumbak’. Mengikut syarat, gendang hanya boleh dimainkan oleh kaum wanita sahaja manakala golongan lelaki akan ‘bertandak’ atau menari joget secara berpasangan mengikut rentak gendang yang dimainkan. Manakala amalan ‘menopeng’ pula adalah dilakukan oleh golongan lelaki yang memakai topeng muka dan mencuba nasib untuk mencari jodoh dengan gadis yang kebiasaanya duduk di belakang tadbir atau teratak. Tetapi amalan menopeng ini sudah tidak lagi dilakukan di acara bermukun pada masa kini sejajar dengan peredaran zaman dan anjakan pemikiran serta kefahaman.

Pemukun biasanya akan memulakan acara memukun dengan memukul gendang sambil berpantun empat kerat yang terdiri daripada pembayang dan maksud sebenar yang hendak disampaikan sama ada tersurat atau tersirat sehinggalah pemantun lelaki masuk ke gelanggang untuk membalas pantun sambil bertandak. Lazimnya tema pantun adalah pelbagai antaranya termasuklah pantun nasihat, jenaka dan percintaan yang secara tidak langsung menjadi medium untuk golongan teruna dan dara mencari pasangan. Kebolehan pemantun berbalas pantun adalah sesuatu yang unik kerana pantun dicipta secara spontan dan ketika persembahan bermukun dilakukan.

Seni tari atau ‘betandak’ dalam bermukun pula adalah satu elemen penting dalam irama gendang. Kebiasaanya penari adalah terdiri daripada kaum lelaki yang akan menari secara bergilir-gilir dalam pasangan sehingga larut malam sebagai persembahan selain dari berhibur mendengar rentak gendang dan pantun.

Sehingga ke hari ini, aktiviti bermukun semakin jarang dilihat dan hanya dilakukan jika masih terdapat golongan berumur dan berkebolehan di kawasan kampung. Beberapa bahagian di Sarawak seperti bahagian Betong, Mukah dan Miri dilihat masih terdapat komuniti dan persatuan yang aktif dalam mengangkat dan memberi nafas terhadap seni bermukun ini.

 

 

Gambar 1: Pemukun memainkan gendang di teratak yang dihiasi kain bewarna.

Sumber: dewanbudaya.jendeladbp.my

 

 Gambar 2: Kaum lelaki ‘betandak’ mengikut rentak gendang.

Sumber: sarawakvoice.com

  

Rujukan:

1. The Daily Brunei Resources. July 05, 2011. Memukun. Retrieved August 28th from http://bruneiresources.blogspot.com/2011/07/memukun.html

2. Mohamad Achil Norrlatep. 3 Januari, 2018. Bermukun, adat Melayu Sarawak yang tidak lapuk ditelan zaman. Retrieved August 30th from https://www.utusanborneo.com.my/2018/01/03/bermukun-adat-melayu-sarawak-yang-tidak-lapuk-ditelan-zaman

3. Rakan03Sarawak. October 21, 2021. Bermukun Hiburan Tradisi Masyarakat Melayu Sarawak. Retrieved August 30th from https://www.rakansarawak.com/v3/2021/10/21/bermukun-hiburan-tradisi-masyarakat-melayu-sarawak/

 

 

WILLCHESTER WELFRED September 8, 2022
Share this post
Tags
Our blogs
Archive


Kelabit Betik Tattoo